.

Saturday, June 18, 2011

BETUL KER RODA TU BULAT?

Sekali lagi nak tanya, betul ke roda tu bulat? Confirm dan common sense la roda tu bulat kan? Orang selalu berkata hidup umpama roda, sekejap kita di atas, sekejap kita di bawah.

(Kembali kepada ayat skema)

Roh berada di alam roh, manusia berada di alam manusia, manusia yang tidak bernyawa berada di alam kematian, manusia yang dihidupkan semula berada di alam akhirat. Di situ mereka akan hidup selama-lamanya samada di syurga bersama Allah Yang Maha Agung, atau di neraka bersama syaithon yang di rejam. Dahulu manusia (Adam as)berada di syurga, diturunkan ke bumi, dan akan kembalinya mereka ke syurga, kepada Maha Pencipta.Inilah roda yang dimaksudkan.

Namun roda manusia ini hanya sekali, tidak akan berpusing untuk kali keduanya. Inilah yang dikatakan 3 PERSOALAN ASAS KEHIDUPAN.

Persoalan pertama: Dari mana kita datang?

Ramai yang tahu asal-usul manusia. Tidak perlu disebut-sebutkan lagi. Namun adakah asal-usul ini difahami atau sekadar diketahui?

“ Wahai sekelian manusia, jika kamu masih ragu-ragu terhadap hari Qiamat, sesungguhnya Kami (Allah s.w.t) telah jadikan kamu dari tanah, kemudian daripada air mani, dari air mani menjadi darah sampai ia menjadi sepotong daging yang telah sempurna kejadiannya dan yang belum sempurna, supaya Kami beri keterangan kepada kamu dan Kami tetapkan di dalam kandungan (rahim) ibu mengikut kehendak Kami, sampailah waktu tertentu maka Kami keluarkan kamu dari kandungan ibumu menjadi kanak-kanak sampai kamu menjadi orang dewasa. Di antara kamu ada yang dimatikan dan ada yang dipanjangkan hidupnya sampai terlalu tua hingga tidak mengetahui apa-apa sedangkan sebelumnya kamu mengetahui “ (Surah Al Hajj ayat 5)

Sudah tentu tidak boleh disangkal asal-usul manusia. Tidak logik (baca:common sense) sekiranya mereka berkata mereka berasal daripada Alien (makhluk asing) kerana sudah berada di depan mata mereka; adik-adik, abang, kakak, ayah, ibu, dan anak-anak. Semuanya adalah kitaran pendewasaan.

Persoalan kedua:Mengapakah kita didatangkan dan dijadikan?

Inilah persoalan yang boleh membuka mata hati manusia. Setiap pagi mereka bangun dan berkejar-kejaran ke tempat kerja, makan dan minum ketika lapar, tidur ketika kepenatan. Setiap hari melakukan kerja yang sama sehinggakan terwujudnya perkataan bosan. Ini roda mereka yang berfikiran jauh dari mata hati. Namun bagi orang yang berfikir, mereka akan cuba merealisasikan roda yang pertama disebutkan tadi.






"Roda mana yang nak pilih ni?"













“Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah (mengabdikan) diri kepada Ku“ (Surah Adz Dzariyaat ayat 56)

"...sesungguhnya Aku jadikan di muka bumi Khalifah" (Surah Al-Baqarah ayat 30)

Inilah tujuan manusia itu diciptakan. Kedua-dua perkara ini perlu dilaksanakan setiap manusia di muka bumi ini. Namun ada tiga golongan manusia: (1) manusia yang lalai daripada kedua-dua ayat ini (2) manusia yang hanya mengambil peranan sebagai ahli ibadah (3) manusia yang berusaha untuk melaksanakan kedua-dua peranan tersebut. Fikirlah yang mana sepatutnya (tambah common sense) yang perlu kita ambil.

Bukannya hanya sekadar duduk di masjid dan bersembahyang lima waktu, bukannya hanya mengucap syahadah, bukannya hanya beriman, bukannya hanya mempercayai Allah, Nabi dan Rasul, Qada' dan Qadar, tetapi lebih dari itu.

MENEGAKKAN KHILAFAH ISLAM!!!

Adakah ini sudah tercapai ummat zaman ini?

Persoalan ketiga:Kemanakah kesudahan kita?

Kembali kepada Allah. Atau kata lainnya...MATI. Ya...itu sahaja...


Syarah ini adalah syarah pertama aku kepada Allahyarham Amirul yang mati lemas di sg. Lembing. Semoga ini dapat menyelamatkan aku dan dia daripada di soal di hadapan Allah.




Monday, April 18, 2011

TIADA KATA

Ah, hati ini terlalu sedih untuk berpisah. Tak mampu menulis apa-apa.

Selamat tinggal sahabat-sahabatku yang berjuang dalam dakwah, yang mendalami ilmu-ilmu Allah, dan yang menganggap diri ini sebagai sebahagian daripada diri.


Aku merindui IIUMRx6th...insyaAllah. Mari doakan untuk kebaikan bersama. Doakan untuk aku juga.

Aku juga mencemburui sahabat-sahabat yang masih lagi ditakdirkan Allah untuk berada di medan juang. Ingatlah, aku akan sentiasa berlumba-lumba untuk menegakkan kalimah Allah. InsyaAllah.

Allah tidak akan mensia-siakan hambanya yang berkasih-sayang keranaNya. Dua pemuda yang bertemu dan berpisah kerana Allah, mengangis kerana Allah...tempatnya di syurga. (Bukhari dan muslim)

...

Sunday, April 10, 2011

EXCITED


[Cerita Pendek Exam Mood]

Ada seorang pemuda di sebuah kampung yang hidup aman dan damai bagaikan burung-burung terbang secara bebas di awangan. Pemuda ini sangat alim dan banyak beramal. Dia juga selalu belajar agama di masjid di kampungnya. Suatu hari dia belajar akan kelebihan takbir di belakang imam, dan sembahyang jemaah muafiq. (akan diterangkan kelebihan dan maksud muafiq pada episod akan datang...sabar yer...)

Pada suatu hari, dia terlambat untuk sembahyang maghrib kerana terlalu leka bermain konda-kondi bersama kawan-kawannya. Sekumandangnya azan maghrib di telinganya yang tinnitus itu, dia segera pulang ke rumah dan menyumpah-nyumpah akan kelalaiannya bermain. Selepas siap mandi, berus gigi, etc..etc..dia segera ke masjid. Dia merasakan betapa ruginya dia kerana terlepas rakaat pertama pada hari itu.

Setibanya di masjid, terus dia mengangkat takbir dan mengikut imam. Dalam sembahyangnya, dia beristighfar kerana kelalaiannya. Selepas bangkit daripada sujud, dia pun terus melakukan af'al seterusnya; tahiyyatul awwal. Tiba-tiba dia melihat semua jemaah bangun. Eh...tadi rakaat pertama.

Akibat terlalu bersyukur (dan juga gembira) kerana dia mendapat rakaat pertama bersama imam, lalu dia menjerit..

"WAHHHHHHHHHHHH...........!!!!!!!!!!"

Lalu melompatlah imam dan jemaah-jemaah lain kerana kekuatan suaranya yang seperti bunyi motor-motor mat rempit di kampungnya.

Ehem...ape pengajaran daripada cerita ini yea?....jgn terlalu excited!! wahahaha...

Wednesday, March 2, 2011

PERCAYA TANPA SEDAR

Suatu hari sekumpulan pelajar bertungkus-lumus membaca nota (...dan juga menghafal)isi-isi penting untuk menghadapi kuiz pada petangnya. Selepas selesai menjawab kuiz, seperti biasa pensyarah akan menyuruh mereka menanda kertas jawapan mereka dengan pelajar di sebelah. Namun tiba-tiba pensyarah itu mengutip kertas-kertas jawapan itu dan memberikan mereka markah kosong....ye...kosong!

Para pelajar tertanya-tanya apakah yang terjadi...

Pensyarah itu mengatakan "Saya akan memberi markah kosong kepada semua selagi tiada sesiapa yang mengaku meniru dalam menjawab soalan ini. Saya tahu siapa yang meniru, dan saya akan menunggu pengakuan mereka. Masa tamat. Semua boleh balik".

Sebagai pengajaran daripada kisah ini. Inilah peristiwa yang boleh dikaitkan dengan Qada' dan Qadar Allah. Seringkali manusia itu mempersoalkannya. Jika ada qada' dan qadar, mengapa perlu bersusah payah mencari pahala? Jika ditakdirkan mendapat syurga di akhirat kelak, mengapa perlu bersusah payah mengamalkan Islam? Jika ditakdirkan mesuk neraka di akhirat kelak (mohon dijauhkan), mengapa bersusah payah menjauhkan diri daripada maksiat?

Berbalik kepada kisah tadi, pensyarah itu tahu pelajarnya yang pandai dan jujur dalam belajar. Dia akan memberikan markah yang setimpal dengan apa yang dijawab. Pensyarah itu juga tahu pelajar yang malas dan meniru untuk menjawab. Dia akan memberikan markah yang setimpal juga. Sudah tentu pelajar yang malas akan mendapat markah yang rendah daripada pelajar yang rajin. Mungkin pensyarah itu sudah ada dalam buku catatannya, siapa yang akan gagal dan siapa yang lulus. Namun sekiranya pelajar yang malas itu berusaha, dia tentu beroleh markah yang tinggi.

Begitulah Allah. Manusia tidak tahu apa yang tercatat untuknya dalam perancangan Allah. Jika dia berusaha mencari kebaikan, sudah tentu pahalanya berlipat ganda daripada manusia yang berbuat maksiat. Adalah tidak adil manusia itu bergantung nasib yang sudah tercatat untuknya, kerana dia mesti akan menuntut amalannya di akhirat. Jika pensyarah tadi menunjukkan markah pelajar-pelajar mengikut kehendaknya (berdasarkan siapa rajin dan siapa tidak), mungkin pelajar-pelajar tadi tidak akan bersetuju. Manusia memang begitu. Allah juga memberikan pahala berdasarkan apa yang hamba-hambanya lakukan.

Jika manusia itu masih tidak percaya pada Qada' dan Qadar, hulurkan sebilah pisau tajam kepada mereka. Minta mereka kelarkan leher mereka dengan pisau itu. Katalah "Jangan takut, jika qada' dan qadar bukan menakdirkan kamu mati, kamu tidak akan mati". Akhirnya, beranikah mereka melakukannya? Mungkin tidak, kerana mereka sebenarnya percaya pada Qada' dan Qadar tanpa menyedarinya.

Tuesday, January 18, 2011

KENAPA AKU MENINGGALKAN SYIAH

Rumusan ini dipetik daripada buku "Kenapa Aku Meninggalkan Syiah?", karangan SYEIKH AL-ALLAMAH DR. HUSAIN AL-MUSAWI.

Dr. Husain Al-Musawi adalah seorang ulama' mujtahid Syiah yang membesar dalam keluarga tersebut sehingga menjadi seorang tokoh ilmuwan hebat di kalangan ulama' Syiah yang akhirnya bertukar iktikad daripada akidah Syiah kepada akidah Ahli Sunnah. Antara ulama' Syiah lain yang kembali ke dalam akidah Ahli sunnah ialah As-Sayid Musa Al-Musawi dan As-Sayid Ahmad Al-Katib.

Buku ini mendedahkan kepincangan dalam ajaran Syiah, di mana Dr. Husain Al-Musawi membincangkan kekeliruan dalam kitab yang diikuti ajaran Syiah (yang digunakan menggantikan AL-Quran dan Hadith Ahli Sunnah). Sepanjang pengajiannya dalam ilmu kefahaman Syiah, seringkali beliau menjumpai kepincangan dan perkara-perkara yang tidak masuk akal (tak common sense :>), lalu beliau bertanya kepada gurunya di Al-Hauzah (nama tempat)dan gurunya menjawab;

"Apakah yang kamu belajar di Al-Hauzah?"
"Mazhab Ahli Bait semestinya"
"Adakah kamu meragui Mazhab Ahli Bait?"
"Ma'azallah (mohon perlindungan Allah). Tidak sama sekali"
"Oleh itu jauhkanlah waswas ini daripada diri mu kerana kamu merupakan pengikut Ahli Bait dan Ahli Bait menerima ajaran daripada Nabi Muhammad. Nabi Muhammad pula menerima ajaran wahyu daripada Allah"

Namun setiap kali beliau mendalami ilmu yang diajarkan, semakin banyak persoalan-persoalan yang menghantui diri. Setiap persoalan itu membuka hati beliau untuk terus berfikir dan akhirnya beliau meragui kesahihan Mazhab Ahli Bait ini.

Dalam buku ini ada dituliskan perihal-perihal seperti kerosakan Syiah disebabkan Abdullah bin Saba' (yang dijumpai dalam kitab Syiah sendiri, tetapi pada masa yang sama mereka menolak kewujudan individu ini), kebenaran dalam nikah mut'ah, khumus (harta rampasan perang), kitab-kitab yang mereka anuti (hinggakan mereka percaya pada kitab-kitab ghaib yang hanya dimiliki Imam-imam mereka, sedangkan Dr. Husain sendiri meragui kerana kenapa perlu imam-imam Syiah perlu menyembunyikan ajaran agama yang sepatutnya diajarkan kepada semua manusia), pandangan Syiah terhadap Ahli Sunnah, dan juga pengaruh-pengaruh asing dalam pembentukan ajaran Syiah. Dalam penutupan, Dr Husain membuat kesimpulan yang mungkin boleh membuka mata manusia tentang kepincangan ajaran ini.

Sepanjang kehidupannya, dia juga mendapati ajaran ini memenangkan sayid-sayid (seerti imam, tok guru, syeikh dalam Ahli Sunnah) di mana sayid-sayid ini mendapat kelebihan yang menampakkan ketidakadilan dalam sistem. (seumpama kasta-kasta dalam masyarakat)

Di sini saya akan membawa sedikit pengakuan yang ditulisnya;

"Aku mengetahui bahawa Abdullah bin Saba' si Yahudi pengasas kepada aliran Syiah, memecahbelahkan kaum Muslimin dan menimbulkan permusuhan dan kebencian sesama mereka. Aku juga mengetahui apa yang telah dilakukan oleh nenek moyang kita (ahli Kufah) terhadap Ahli Bait Rasulullah dan segala apa yang tercatat dalam kitab-kitab kita mengenai kutukan dan celaan para Imam kepada mereka. Ahli Bait juga merasa tidak senang kepada mereka. Aku juga mengetahui mereka mendustai Allah. Allah menjelaskan bahawa AlQuran tidak akan dicemarkan oleh mana-mana tangan kerana Allah telah memberi jaminan untuk memeliharanya. Adapun fuqaha kita mengatakan AlQuran ini telah diselewengkan. Siapakah akan aku percaya? Mereka atau Allah?. Aku mengetahui Mut'ah haram, tetapi Fuqaha kita mengharuskannya. Aku mengetahui bahawa aliran Syiah ini telah dicemarkan oleh tangan-tangan tersembunyi. APAKAH YANG BOLEH MENYEBABKAN AKU UNTUK TERUS KEKAL DI DALAM SYIAH?"

Sehinggakan dalam kitab mereka sendri ada menyebutkan "Allah tidak menurunkan mana-mana ayat tentang orang-orang munafik kecuali sifat tersebut ada kepada Syiah" (Rijal Kasyi).

Banyak yang dapat diperoleh daripada buku ini, hasil terjemahan daripada bahasa Arab kepada Bahasa Melayu, oleh Mohd Firdaus Hat, Abdul Hadi Awang, Mohd Nazrul Abd Nasir, dan Mohd Rosli Talib.

p/s: sekiranya dikatakan Dr Husain Al-Musawi ini bertaqiyah dalam mengakui sebagai Ahli Sunnah, apa gunanya beliau mendedahkan penyelewengan dalam Syiah? Berbeza dengan insan yang mengakui Ahli Sunnah tetapi pada masa yang sama mengangkat kehebatan Syiah. (Boleh difikirkan siapa yang bertaqiyah, siapa yang bukan)

Thursday, December 23, 2010

DI PENGHUJUNG JALAN

Si pelaku itu berteleku
Memandang jauh tidak berpenghujung

Tanpa sedar
Ditenungnya sesuatu
Difikirnya sehari-hari
Sehingga akhirnya si pelaku itu pasti

Dia harus
Harus menuju ke sana
Tetapi difikirkan bagaimana

Merangkak...
Dia lebih dari itu
Berjalan...
Dia akan lambat
Berlari...
Dia akan keletihan

Sekarang ini dia masih berteleku
Kerana dulu dia sudah merangkak,
Dia sudah berjalan,
Dia sudah berlari,

Namun dia masih di situ
Kehabisan impian
Ketandusan cita-cita
Bukankah seharusnya dia menggapai apa yang dilihatnya

Tenaganya, masanya, dan jasadnya
Sudah terhabis ke situ
Tetapi dia masih bingung memikirkan

Fikir...fikir...dan terus berfikir...
Kerana dia sudah dipenghujung,
Mengharap kali ini dia berhasil.

Ya,
Berhasil..
Dia akan berhasil..
Namun seringkali azamnya dilemahkan dengan kegagalan.
Akhirnya dia masih berteleku..
Dan terus...berteleku


8:41 AM
17 muharam 1432

Monday, December 20, 2010

Bacaan Qunut

Qunut bukan ditokok-tambah dalam masyarakat Islam, tetapi ia adalah amalan yang dilakukan Rasulullah. Qunut bukannya syarat sah sembahyang, dan dalam mazhab syafi'e ia adalah sunat. Justeru itu tidak perlu berlakunya pertelingkahan. Saya terkejut apabila terbaca notis di whiteboard surau kediaman saya

"Imam subuh, bace qunut please"

Seolah-olah penulis itu memaksa qunut dibaca dan dia akan keluar dari jemaah sekiranya imam tidak membaca qunut.

Persoalan yang menarik minat saya adalah, "mengapa ada sesetengah mazhab mensunatkan membaca qunut, dan mazhab lainnya tidak?" (Pembaca digalakkan mencari mazhab yang saya maksudkan). Berdasarkan pembacaan dan pemahaman saya, memang qunut dibaca Rasulullah. Jadi, ia adalah sunnah dalam ibadah. Namun ia bukanlah wajib kerana ada ketika Rasulullah tidak membacanya.

Berdasarkan hadith, Rasulullah membaca qunut apabila Islam ketika itu ditimpa musibah. Rasulullah mendoakan kekalahan musuh-musuh Islam, supaya Islam beroleh kemenangan. Sesudah itu, qunut tidak dibaca Rasulullah dalam solat, melainkan sekiranya ditimpa musibah. (Saya tidak akan memaparkan hadith-hadith kerana tujuan saya menulis adalah untuk ringkasan pemahaman dan bukannya kajian).

Dalam hal ini, ulama 4 mazhab mengambil inisiatif dalam menentukan bacaan qunut untuk masyarakat, samada perlu dilakukan atau tidak. Malaysia sudah sinonim dalam bacaan qunut, berdasarkan mazhab Syafi'e. Namun tidak perlu berlaku pertikaian bagi yang mengikuti mazhab Syafi'e apabila imam tidak membaca qunut. Jika mereka mengikuti mazhab Syafi'e, mengapa mereka tidak juga mengikuti perlakuan imam Syafi'e mengenai qunut?

Ada satu ketika di mana imam Syafi'e datang mengunjungi kawasan imam Hanafi (Kota Kufah), beliau turut tidak membaca qunut ketika mengimami solat subuh. Apabila selesai solat makmum yang bermazhab Hanafi bertanya: Bukankah tuan telah menuntut supaya dalam solat subuh dibaca qunut dan orang yang tertinggal pula tuan meminta sujud sahwi? Kami dapati tuan bukan sahaja meninggalkan qunut malahan tuan juga tidak sujud sahwi?.Lalu imam al-Syafie sambil menunjukkan makam imam Abu Hanifah dengan ibu jarinya menjawab: Adakah patut aku menyanggahi beliau sedang beliau berada di hadapan ku?

Bukankah ini satu pengakuan? Imam Syafi'e tidak pernah memaksa sesiapa pun taksub dengan pendapatnya, dan pada masa yang sama menerima hujah dan pemahaman imam-imam yang lain. Lantas dengan itu patutkah kita sebagai orang yang cetek ilmunya (asif jiddan), menyalahkan imam-imam lain yang dekat dengan susur galur kehidupan Rasulullah?

Saya amat mengalukan sekiranya pembaca sekalian mendalami ilmu ini kerana ia suatu yang menarik untuk dikongsikan. Tidak perlulah kita bertikam lidah dan menunding jari kepada orang lain sedangkan kita sendiri tidak tahu hujung pangkalnya.

Pemahaman saya tidaklah begitu tinggi. Tetapi inilah yang mampu saya kongsikan.